The hardest part of my life is to understand myself. Then stop think that you knowing me





Tuesday, February 12, 2019

Cinta Nurmultazam di Bumi Haramain #3

Madinah Bumi Anbiya : Raudah 


Buat pengetahuan semua, waktu untuk pergi masuk ke Raudah adalah berbeza bagi Jemaah lelaki dan wanita. Raudah akan dibuka 24 jam bagi Jemaah lelaki tetapi bagi Jemaah wanita hanya ada 3 waktu yang dibenarkan iaitu selepas waktu solat Subuh, selepas waktu solat Zohor dan selepas waktu solat Isyak. Aku membuat andaian pada awalnya, mungkin ini prosedur bagi mengurangkan kesesakan barangkali. 
Jemaah lelaki yang bersedia masuk ke Raudah

Tekaan aku sepertinya sedikit meleset kerana Raudah adalah satu tempat yang bukan mudah untuk dimasuki semua Jemaah jika mental dan fizikalnya tidak kuat seiring. Pukul 9.30 pm selepas saja mengerjakan solat fardu Isyak dan makan malam, Jemaah wanita yang ingin bersama ke Raudah berkumpul di lobi hotel sementara mengunggu ustazah yang akan membantu kami dalam misi memasuki raudah. Perasaan ketika ini cukup berdebar kerana pelbagai andaian yang di dengar dari mulut orang-orang. “Raudah terlalu ramai orang” “di Raudah banyak ikhlaskan hati, redha.. ingat untuk apa kita masuk ke raudah. Kita masuk untuk beribadah” mendengarkan ini menambahkan lagi rasa debaran di dada. Pasti ada sesuatu yang ada di dalam raudah sehingga ianya benar-benar menarik hati para Jemaah yang lain berpusu-pusu memasuki raudah.

Jemaah wanita Nurmultazam dikumpulkan di pintu 25 di depan Masjid Al-Nabawi. Sebelum melangkah masuk, doa dimulai bagi memohon pertolongan Allah bagi memudahkan kami masuk ke Raudah. Kami dinasihat untuk banyakkan zikir dan berselawat ke atas nabi sambil melangkah masuk ke dalam masjid. 
Dimulai dengan solat sunat Tahyatulmasjid, kami belari-lari anak untuk masuk ke dalam setiap check point. Buat pengetahuan yang tidak pernah ke sana, rumpun melayu seperti Malaysia dan Indonesia akan di asingkan dengan Jemaah dari negara-negara lain seperti dari timur tengah memandangkan saiz fizikal dan negara itu sedikit tinggi dan besar berbanding orang melayu. “Ya Hajjah duduk!” aku rindu untuk dibahasakan seperti itu. Walaupun orang timur tengah ini sedikit kasar, tetapi mereka tetap mempunyai adab sopannya. 
Sampai sahaja peluang kami untuk masuk, berlarian lah para Jemaah berpusu-pusu masuk dan melangkah ke “Kapet Hijau”. “Kapet Hijau” inilah Raudah. Berdoalah, sujudlah, solatlah jangan berhenti untuk memohon ampun kepada Allah. Aku menunaikan solat sunat taubat dan solat sunat hajat. Dan buat pertama kalinya dalam solatku aku menangis. Melepaskan semua resah di dada, memohon ampun kepada Allah atas salah silap aku sebagai hambanya yang terlahir di dunia ini. dada ini terasa lapang setelah habis merintih dan mengadu kepadaNya. 

Terlalu ramai Jemaah sehingga ada yang jatuh ditolak dan terpijak dan pada saat itu aku tersedar, begitu payah orang berebut untuk bersujud kepada Allah, kenapa sebelumnya aku banyak meletakkan alasan untuk tidak beribadah kepadaMu. Aku memohon kepada yang Esa agar dosa-dosaku diampunkan dan doa-doaku dimakbulkan. Dua kali aku menjejakkan kaki ke dalam raudah, dua kali itu juga air mata ini mengalir tidak hentinya. Aku bersyukur diberikan peluang untuk menjejakkan kaki ke sini. Tempat yang benar-benar memberi kesan kepada spiritualku. Aku cerita semuanya pada Allah dan di saat itu, hatiku benar-benar lapang dan puas. Perasaan itu hanya aku dan Allah yang tahu.
bersama ustazah yang membantu kami untuk masuk ke Raudah

No comments: